Bismillahirrahmanirrahim.
In syaa Allah, entri kali ini Amie kongsikan pengalaman ketika hendak memulakan perjalanan yang mendebarkan menuju ke bumi anbia iaitu Palestin. Sewaktu rakan-rakan dan keluarga mengetahui kami akan berangkat ke negara tersebut, ramai yang menyuarakan kebimbangan dan tidak kurang juga yang turut mendoakan agar kami selamat pergi dan selamat kembali.
Awal tahun 2025, kami merancang untuk menunaikan umrah bersama seisi keluarga. Namun, hanya Allah sebaik-baik perancang. Abang Farid, Fuad dan Fairuz tidak dapat ikut serta. Encik Suami pula, katanya hanya Mekah dan Madinah sahaja yang ingin dikunjunginya. Ketika itu Amie teringat Rasulullah SAW pernah bersabda:
Tidak disyariatkan bersungguh-sungguh bermusafir kecuali ke tiga masjid : Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al Aqsa - HR al-Bukhari & Muslim.
Doa dan harapan sentiasa dipanjatkan agar dipermudahkan perjalanan kami untuk sampai ke Masjidil Aqsa, qiblat pertama umat Islam.
| Pasport Malaysia sah digunakan untuk semua negara kecuali ke negara yang satu ini. |
Kami daftar di bawah pakej Kembara Sufi: Jordan - Masjidil Aqsa dan diterima sebagai peserta untuk 10 hari permusafiran. Bagaimanapun kami dikehendaki mengisi Permohonan Borang Visa ke Jerusalem 50 hari sebelum penerbangan. Kelulusan ke Jerusalem ini akan ditentukan oleh negara itu kerana mereka mengawal pintu masuk ke Palestine.
Banyaklah syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk melepasi pemeriksaan imigresen tersebut. Perjalanan bermula dari Amman, Jordan menuju ke sempadan Allenby Bridge. Sampai di sini perasaan mula bercampur baur antara teruja dan berdebar. Bahagian paling ketat sudah tentulah ketika pemeriksaan keselamatan yang dilakukan oleh negara itu. Hal ini akan Amie sentuh dalam catatan penuh untuk entri berikutnya.
Menurut agen pelancongan, ada ketikanya tidak semua peserta boleh lolos pemeriksaan keselamatan. Jika hal tersebut berlaku, terpaksalah mereka tinggaal di Amman, Jordan. Biasanya yang tidak lepas, terdiri daripada peserta muda.
Amie tanya, adakah Firdaus lepas pemeriksaan imigresen? Kalau kami berdua lolos, dan Firdaus tidak lolos apa akan jadi kepadanya? Tidak boleh bayangkan kalau Firdaus terpaksa berada di Amman, sementara kami pula berada di Palestin. Menurut agen, kalau Firdaus in syaa Allah negara itu akan luluskan. Mereka hanya takut kepada golongan muda belia, bukannya kanak-kanak dan golongan usia emas seperti kami. Alhamdulillah.
Seminggu sebelum kami memulakan perjalanan Jordan - Masjidil Aqsa, agen pelancongan mengumumkan khabar gembira bahawa permohonan visa ke Jerusalem diluluskan. Alhamdulillah. Namun begitu, kami sentiasa diingatkan agar mematuhi segala arahan ketika berada di pintu imigresen negara itu.
Seperti biasa, Amie bawa buku catatan untuk menulis segala peristiwa yang dilalui sepanjangan permusafiran. Kali ini Amie bawa tiga buah buku catatan:
- KLIA - Dubai
- Jordan
- Palestine
| Jordan |
Doa kami:
Ya Allah ya Rahman.
Permudahkanlah urusan kami ke Baitulmaqdis, menjejak kami ke bumi para anbia dan in syaa Allah berpeluang menunaikan solat di Masjidil Aqsa - tempat yang selama ini hanya kami sebut dalam doa dan rindu.
Ya Allah ya Rahman.
Permudahkanlah urusan kami ke Baitulmaqdis, menjejak kami ke bumi para anbia dan in syaa Allah berpeluang menunaikan solat di Masjidil Aqsa - tempat yang selama ini hanya kami sebut dalam doa dan rindu.